Nama Kelantan adalah ditakrifkan daripada perkataan "gelam hutam" iaitu nama melayu bagi pokok 'Melaleuca Leucadendron'. Selain itu ada juga yang mengatakan bahawa namanya datang daripada perkataan "kilatan" atau "kolam tanah". Selain itu, Negeri Kelantan juga dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti wan Kembang dan Serambi Mekah. 

Kelantan Darul Naim terdiri daripada 11 tanah jajahan iaitu Jajahan Kota Bharu, pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang , Tanah Merah, Jeli, Gua Musang dan Jajahan Kecil Lojing.

Antara bandar-bandar utama di negeri Kelantan adalah Kota Bharu(Ibu negeri bagi Kelantan), Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, dan Gua Musang. Sejajar dengan pembangunan ekonomi, terdapat juga pertumbuhan bandar-bandar baru seperti Kubang Kerian, Pasir Tumboh, Pengkalan Chepa, Bandar baru Tunjong dan Tok Bali.  

untuk rujukan klik (Portal Negeri Kelantan)

Kerajaan Jembal merupakan kerajaan yang memerintah di Hilir Kelantan yang diasaskan oleh keturunan Raja Champa. Pada kurun ke-14 hingga kurun ke-19, negeri Champa telah berperang menentang Penjajahan Vietnam(Dinasti Nguyen) dari utara. Disebabkan perbezaan budaya yang ketara bila mana Vietnam lebih kepada budaya China dan Champa pula lebih ke arah budaya Melayu sehingga mereka digelar Melayu Champa. Di sebabkan banyak kota mereka di takluki oleh Vietnam, mereka telah melakukan penghijrahan beramai-ramai ke Kelantan  dan menyebabkan terbinanya pengkalan/pelabuhan yang diberi nama Pengkalan Champa atau dikenali sebagai Pengkalan Chepa sekarang.

Orang Champa yang mengasaskan kerajaan Jembal. Bapa kepada Almarhum Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz bin Hj. Nik Mat  (Bekas Menteri Besar Kelantan) iaitu Almarhum Haji Nik Mat bin Raja Banjar merupakan keturunan Raja Jembal yang memerintah Kelantan pada kurun ke -16. (sumber daripada Sejarah kelantan). 

Pengkalan Chepa terletak di bawah pentadbiran Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu. Padang Tembak adalah salah satu kawasan yang terdapat di Pengkalan Chepa. Padang Tembak terletak 15 km dari Bandar Kota Bharu. Ia juga terletak hanya 5 km dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa. 

Kedudukan yang strategik dalam kawasan perindustrian yang sedang pesat membangun, juga dengan dikelilingi oleh sekolah rendah dan menengah, sekolah berasrama penuh dan pusat pengajian tinggi menyebabkan persekitaran Padang Tembak ini mempunyai penduduk yang padat. Kebanyakan penduduk bekerja sebagai penjawat awam dan swasta, peniaga dan petani.